UMNO Tanjung Malim sifatkan Gerakan tidak mengenang budi - Utusan Malaysia

UMNO Tanjung Malim sifatkan Gerakan tidak mengenang budi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 13 Jun – UMNO Bahagian Tanjung Malim menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong semalam yang mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir UMNO berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu amat biadab dan tidak mengenang budi.

MOHD. KHUSAIRI ABDUL TALIB
MOHD. KHUSAIRI ABDUL TALIB

Ketuanya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan Pemuda parti itu tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu.

Menurutnya, ini kerana UMNO telah banyak berbudi dan menyelamatkan parti Gerakan daripada keadaan nyawa- nyawa ikan sejak sekian lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Andy perlu cermin partinya sendiri yang lemah, tidak mempunyai sistem pentadbiran teratur terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat Cina.

“Di Tanjung Malim, parti Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli dan gagal membantu kempen BN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendung oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khusairi yang juga Pengerusi BN Tanjung Malim berkata, Pemimpin Gerakan di peringkat Pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat, sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Menurutnya, kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihan raya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah semasa Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Kiong menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.

Kata beliau, sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihan rayanya.

“Gerakan sudah lama menjadi parti politik jalanan jika tidak dibantu oleh UMNO yang menerajui BN selama ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini