UMNO serah kepada peguam - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

UMNO serah kepada peguam – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 28 Jun – UMNO akan menyerahkan kepada pihak peguam bagi menguruskan perkara berkaitan barangan rampasan termasuk wang tunai berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan pihak polis melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk melaksanakan sebarang tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita akan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada dan serahkan kepada peguam untuk mengaturkannya. Kita serah kepada peguam untuk menguruskannya mengikut peraturan perundangan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Melaka di Dewan Mini Bistari di Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron; calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta calon-calon Naib Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh semalam meminta UMNO memberi keterangan kepada polis jika benar ada antara barangan rampasan termasuk wang tunai melibatkan siasatan kes 1MDB adalah milik parti itu.

Menurut Amar Singh, pihaknya belum dapat mengenal pasti pemilik barangan rampasan yang dibuat di enam premis melibatkan bekas perdana menteri.

Unit Komunikasi Strategi Ibu pejabat UMNO pada Mei lalu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu kesal dengan tindakan polis merampas wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini