IPOH – UMNO Perak memberi bayangan akan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pada pemilihan jawatan tersebut Sabtu ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, meskipun diminta tidak membuat sebarang pengumuman namun, pihaknya telah mempunyai pilihan mereka sebagai Presiden dan ia tentunya kepada pemimpin berasal dari negeri itu sendiri.
“Ahmad Zahid selaku Pemangku Presiden parti telah meminta semua badan perhubungan UMNO negeri memberi kebebasan kepada ahli untuk membuat penilaian dan tidak menyatakan pendirian masing-masing.
“Bagaimanapun, dalam konteks di sini, sudah tentu kita sudah ada pilihan dan secara asasnya, kita dari Perak tentulah memilih pemimpin asal Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan UMNO Negeri Perak di sini hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid turut mengadakan taklimat dan perjumpaan secara tertutup lebih sejam dengan kepimpinan UMNO negeri di tempat sama.
Tambah Zambry, paling utama calon Presiden UMNO yang dipilih itu perlu mampu mentadbir, mengurus, memimpin serta mampu membawa semua ahli UMNO untuk bekerja dan memperbetulkan kekurangan yang ada dalam membina UMNO baharu lebih baik dan diyakini.
“Kita tidak boleh lihat dalam satu aspek semata-mata atau dalam konteks retorik semata-mata dengan hanya mungkin atas kemampuan mereka memberikan pandangan yang lain.
“Tetapi paling penting bagaimana mereka ini dapat membawa tranformasi baharu kepada UMNO,” katanya. – K! ONLINE










