Ugut, halang tugas Rela: Peniaga dipenjara 6 bulan - Utusan Malaysia

Ugut, halang tugas Rela: Peniaga dipenjara 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 29 Jun – Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang peniaga alat ganti kenderaan kerana mengugut dan menghalang tugas seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Jonker Walk di sini baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majistret Mohd. Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Soon Wei Meng, 42, dari Batu Berendam di sini mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak mulai hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Wei Meng didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas Loke Yee Wei, 33, yang sedang bertugas dengan menggunakan sebatang kayu rotan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10, 000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghalang mangsa menjalankan tugas.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di tepi Jalan Tokong, Jonker Walk pada pukul 6.45 petang, Ahad lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia yang baru bercerai perlu menanggung ibu bapa dan dua anak berusia 11 dan 15 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kejadian tersebut menjadi perhatian umum selepas video itu tular dalam laman sosial baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN