KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mahu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dipinda bagi memperketatkan peraturan berhubung pembabitan penjawat awam dan kakitangan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam politik.
Katanya, pada ketika ini penjawat awam tidak benar-benar dilarang daripada menyertai parti politik dengan mereka yang berada di bawah pangkat tertentu dibenarkan memegang jawatan sehingga ke tahap tertentu manakala tidak bagi yang berada di atas jawatan tertentu.
Tambahnya, tanggungjawab untuk tidak menyertai politik tidak juga diaplikasikan kepada mereka yang berada di dalam GLC dan dengan kebebasan ini sering mendorong kakitangan di GLC untuk mengambil bahagian secara tidak langsung dalam politik yang berat sebelah.
“Saya ingin mencadangkan agar semua penjawat awam dilarang malah untuk mendaftar sebagai anggota mana-mana parti politik. Jika dia ingin berbuat demikian, dia harus meletak jawatan sebagai penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaki mengulas laporan media baru-baru ini mengenai teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pegawai kanan kerajaan yang terlalu ghairah menyokong bekas kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum lepas. – Bernama











