PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari di pejabatnya di Perdana Putra di sini hari ini.
Amirudin yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Selangor hari ini, tiba kira-kira pukul 2.30 petang sebelum mengadakan pertemuan selama 40 minit dengan Dr. Mahathir.
Amirudin berkata, Dr. Mahathir mengucapkan tahniah kepadanya serta memberi nasihat berhubung pengurusan dan pentadbiran negeri Selangor.
“Beliau (Dr.Mahathir) turut memberi pandangan mengenai fungsi kerajaan negeri untuk membantu perkembangan dan pembangunan negara semua kaum khususnya Bumiputera di negara kita,” katanya.
Amirudin, 38, semalam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
Beliau menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam barisan kabinet kerajaan Pakatan Harapan pada 21 Mei lalu. – K! ONLINE










