JOHOR BAHRU – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru memutuskan penubuhan Wakaf Khas yang bertujuan melindungi kepentingan aset parti itu daripada sebarang kemungkinan.
Usul yang dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian, Md. Zain Shuib itu dipersetuju oleh majoriti 538 perwakilan daripada 92 cawangan dalam mesyuarat yang diadakan di Hotel New York di sini hari ini.
Md. Zain yang juga Pengerusi Biro Agama UMNO Johor Bahru ketika membentangkan usul itu menjelaskan penubuhan Wakaf Khas itu bagi memastikan semua aset UMNO tidak boleh dipindah milik selagi parti itu masih wujud.
“Segala wakaf pemilikan UMNO dikecualikan daripada cukai dan penggunaannya akan dikhaskam untuk parti bagi manfaat umat Islam serta masyarakat.
“Ia juga akan terpelihara sampai bila-bila untuk kegunaan umat Islam dan bagi tujuan ini, pelantikan Nazir Khas (Pemegang Amanah) seramai tiga orang akan dilantik dalam kalangan kepemimpinan Bahagian untuk menguruskan wakaf ini sebagaimana kehendak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Parti kini mempunyai banyak aset yang perlu diurus tadbir dengan baik supaya ia boleh memberi manfaat kepada ahlinya dan juga kebaikan kepada keseluruhan masyarakat,” katanya.
Md Zain berkata, menerusi penubuhan Wakaf Khas itu, sebanyak lima peratus daripada sebarang hasil dan keuntungan yang terjana daripada wakaf itu akan diserahkan kepada Bahagian Wakaf MAINJ untuk dimanfaatkan kepada golongan asnaf.
Sementara itu, usul yang dibentangkan disokong perwakilan dari UMNO Cawangan Garuda, Mohd. Faiz Mohd Silvano.
Menurutnya, usaha untuk mewujudkan Wakaf Khas tersebut diyakini mampu menghalang pencerobohan aset oleh mana-mana ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
“Wakaf Khas ini akan melindungi pemilikan aset UMNO daripada rampasan politikus buas, kebal daripada penyamun dan selagi UMNO masih wujud, aset ini tidak boleh dipindah milik.
“Kalaupun mereka (kerajaan) cuba mengharamkan UMNO, aset ini secara automatik berpindah milik kepada MAINJ untuk kegunaan umat Islam umumnya. Jangan berangan dapat mengambilnya,” katanya.
Ketika ini, perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru sedang melakukan proses pengundian bagi jawatankuasa peringkat Pusat dan Bahagian.
Pemilihan peringkat Bahagian UMNO Johor Bahru kali ini menyaksikan penyandang Ketua Bahagian, Tan Sri Shahrir Abd Samad, dicabar peguam muda dari Cawangan Bandar Baru Uda, Izzat Muhtar. – K! ONLINE











