KUALA LUMPUR 26 Jun – Seorang lelaki warga Indonesia maut sementara anaknya cedera selepas sebuah treler yang mengubah laluan secara tiba-tiba melanggar motosikal dinaiki mereka di Kilometer 2, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menghala Kepong, dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, mangsa, Budi Arifin, 32, yang menunggang motosikal Honda RS 150 maut di lokasi kejadian, manakala anaknya, Siti Aishah berusia lapan tahun pula patah tangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kejadian itu berlaku akibat kecuaian pemandu treler berusia 54 tahun yang mengubah laluan ke kanan secara tiba-tiba.
“Kejadian tersebut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah tayar treler berkenaan yang membawa muatan tanah merah. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Azman memberitahu, anak perempuan mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
Manakala mayat mangsa pula jelasnya, dibawa ke Unit Forensik PPUM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada warisnya.
“Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










