KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara pada pagi hari kelima Syawal hari ini dilaporkan lancar dan terkawal, menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat pukul 9 pagi ini, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bergerak lancar dan terkawal.
“Keadaan tradik di sepanjang Jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah juga lancar meskipun mencatat pertambahan bilangan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Namun, katanya, aliran trafik dari Changkat menuju ke Kuala Kangsar agak perlahan sepanjang empat kilometer berikutan sebuah lori rosak di kilometer 230.3.
Sementara itu, LLM melaporkan aliran trafik lancar dan terkawal bermula Kuantan menuju ke Bentong melalui Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) serta di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuala Terengganu ke Kuantan.
Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), khususnya dari arah Bentong ke Gombak juga dilaporkan lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. – Bernama









