PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tommy Thomas telah melapor diri di pejabat Peguam Negara di sini hari ini.
Beliau yang tiba di lobi Pejabat Peguam Negara pada pukul 1.12 petang kelihatan bersemangat memulakan tugasnya sebagai Peguam Negara.
Tommy ketika ditemui berkata, beliau menggariskan tiga fokus utama dalam tempoh dua tahun perkhidmatannya termasuk berkaitan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Pelantikan Tommy menamatkan spekulasi siapa yang akan menduduki kerusi panas Peguam Negara apabila beliau akhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan nama beliau sebagai calon Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang diarah bercuti pada 14 Mei lalu sebelum ditamatkan perkhidmatannya semalam. – K! ONLINE











