Musim liga bola sepak dunia bagi tahun 2017/2018 berakhir beberapa minggu lalu. Seperti selalu, suasana hujung minggu para peminat bola sepak terutama liga-liga utama di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-juara sudah pasti berbeza sepanjang liga tersebut bercuti. Musim baharu 2018/2019 hanya akan bermula pada 11 Ogos nanti.
Bagaimanapun suasana tahun ini sedikit berbeza kerana sepanjang liga-liga utama Eropah bercuti, ada kejohanan bola sepak lagi besar akan mengisi ‘kekosongan’ itu iaitu Piala Dunia 2018. Kejohanan ini amat ditunggu-tunggu oleh para peminat sukan di seluruh muka bumi ini.
Sebanyak 32 pasukan yang mewakili semua benua akan bertanding pada kejohanan yang diadakan di Rusia itu. Sekadar menyebut beberapa contoh, tumpuan sudah pasti diberikan kepada kuasa bola sepak dunia seperti Brazil, Argentina, Sepanyol, Jerman, Peranchis, Belgium dan England.
Bahangnya semakin terasa, lebih-lebih lagi ketika semua pasukan sudah membuat persiapan terakhir menjelang pembukaan pada 14 Jun ini. Di Malaysia, perlawanan pertama kejohanan itu akan dapat ditonton pada pagi hari raya pertama.
Mujurlah, perlawanan tersebut tidak melibatkan pasukan besar yang diletakkan sebagai pilihan. Kalau tidak sudah tentu masing-masing jenuh berjaga dari awal pagi dan terus disambung dengan tradisi beraya sepanjang hari!
Siaran langsung kesemua 64 perlawanan yang melibatkan 32 pasukan boleh diikuti menerusi stesen televisyen satelit berbayar Astro yang mendapat hak penyiaran Piala Dunia 2018 bagi Malaysia.
Kesemua perlawanan itu disiarkan menggunakan format siaran berdefinisi tinggi.
Hanya mereka yang melanggan pakej sukan stesen tersebut boleh menikmati kesemua perlawanan siaran langsung sehingga kejohanan berakhir pada 15 Julai depan.
Bagaimanapun pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bahawa kejohanan tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah pasti menggembirakan peminat bola sepak yang tidak melanggan atau melanggan tetapi tidak mengambil pakej saluran sukan stesen berbayar itu.
Langkah ini sekali gus meneruskan tradisi RTM menyiarkan perlawanan bola sepak kejohanan itu secara langsung atau tertunda secara percuma kepada rakyat Malaysia sejak dari dahulu lagi.
Pada kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil, RTM memperoleh hak menyiarkan 35 perlawanan iaitu 24 secara langsung manakala 11 lagi siaran tertunda.
Menurut Gobind, kos penyiaran 41 perlawanan secara langsung bola sepak menerusi RTM melibatkan RM30 juta dan separuh daripada kos tersebut diperoleh menerusi tajaan.
Pengumuman tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi, polemik dan kritikan daripada orang ramai terutama ahli politik.
Sesetengah menganggap langkah tersebut sebagai suatu pembaziran. Dalam keadaan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan mengambil pendekatan berhati-hati berbelanja bagi mengelakkan pembaziran sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, kos RM30 juta itu sudah tentu disifatkan sebagai besar dan membazir.
Netizen yang tidak bersetuju menyifatkan jumlah tersebut boleh digunakan untuk pelbagai faedah lain untuk rakyat.
Bagi peminat bola sepak pula, pengumuman itu disambut dengan gembira dan sesuatu yang amat dialu-alukan sementelah lagi kejohanan ini hanya muncul empat tahun sekali.
Mereka tidak nampak di mana salahnya kerajaan sesekali berbelanja untuk membolehkan rakyat negara ini menyertai tradisi meraikan dan merasai keseronokan satu kejohanan bola sepak bersejarah dunia ini.
Lagipun kos RM30 juta itu digunakan untuk membeli hak penyiaran, bukannya masuk ke dalam poket sesiapa pun!
Mereka berpandangan, tidak kira kerajaan mana pun memerintah ketika ini, rakyat berhak untuk menonton kejohanan tersebut waima di ceruk kampung mana sekalipun mereka tinggal.
Malah itulah yang turut dilakukan oleh negara-negara lain di seluruh dunia pada waktu ini termasuk negara-negara miskin. Kerajaan mereka bersusah payah cuba menyediakan infrastruktur bagi membolehkan setiap rakyat dapat menikmati detik dan keseronokan sukan paling popular di atas muka bumi ini.
Mempolitikkan isu siaran langsung Piala Dunia 2018 hanya semata-mata kerana perkara itu adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan bukanlah sesuatu yang bijak.
Kalaupun mahu mengecam, mengkritik dan membaham, carilah isu lain.










