SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan akan bertanding jawatan itu dalam pemilihan parti UMNO tahun ini.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira permintaan ahli dan hala tuju UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana anjuran Pertubuhan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) di sini hari ini.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, beliau akan menghantar pencalonannya hari ini.
Katanya, beliau mahu memastikan UMNO mendapat nafas baharu dan kembali ke landasan asas penubuhan parti demi rakyat dan negara.
“Saya akan menghantar pencalonan secara online (dalam talian) petang ini,” katanya. – K! ONLINE










