NEW DELHI 20 Jun – Juruteknik yang ditugaskan membaiki mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank yang rosak di negeri Assam terkejut apabila mendapati wang kertas di dalamnya hancur menjadi cebisan-cebisan kecil.
Portal berita BBC melaporkan, wang kertas berkenaan dalam denominasi 2,000 dan 500 bernilai lebih 1.2 juta rupee (RM70,524).
Juruteknik itu, bagaimanapun berjaya menyelamatkan wang bernilai 1.7 juta rupee (RM99.968) yang masih lagi berada dalam keadaan baik di cawangan Bank Negara India dalam daerah Tinsukia,
Polis berkata, pihaknya mengesyaki ‘dalang’ utama kejadian mengejutkan yang belum pernah berlaku itu adalah seekor tikus yang bersarang di dalam mesin berkenaan.
Menurut laporan Hindustan Times, polis percaya tikus itu mungkin memasuki mesin berkenaan melalui lubang pendawaian yang terdedah dan menggigit wang kertas di dalamnya.
Gambar longgokan cebisan wang tunai yang dikeluarkan dari mesin ATM tersebut tular semalam dan dikongsi oleh ribuan pengguna Twitter yang hairan dengan kejadian itu.
Salah satu rakaman video turut menunjukkan bangkai seekor tikus yang disyaki ‘suspek utama kejadian’ dijumpai di atas timbunan cebisan wang tunai itu.
Pegawai polis, Prakash Sonowal berkata, mesin itu tidak berfungsi selama kira-kira 12 hari.










