SEREMBAN – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 33 hingga 56 tahun tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini dalam Operasi Sarang di Felda Sendayan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kesemua suspek ditahan secara berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seremban bermula pukul 5 pagi hingga 4 petang.
Menurutnya, suspek pertama berusia 56 tahun yang disyaki pengedar utama ditahan di sebuah rumah di Felda Sendayan dan polis merampas beberapa bungkusan dan tiub straw berisi dadah jenis heroin seberat 207.75 gram (g) bernilai RM4,000.
“Dalam serbuan kedua, suspek berusia 33 tahun diberkas di hadapan restoran di Felda Sendayan dan merampas dadah jenis sama seberat 65.7g dan sebungkus plastik disyaki dadah methamphetamine seberat 3.6g bernilai RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hock Poh berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 12(2) akta sama.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua lelaki terbabit juga mendapati mereka positif dadah jenis morphine,” ujarnya.
Sementara itu katanya, dalam serbuan ketiga pula, polis berjaya menahan seorang wanita berusia 35 tahun disyaki menjadi orang tengah antara pengedar utama dengan para penagih yang ingin mendapatkan bekalan dadah di ladang kelapa sawit di kawasan Felda sama.
“Wanita itu kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” tegasnya. – K! ONLINE










