Tiga ditahan susulan kes gaduh dan langgar di Rawang - Utusan Malaysia

Tiga ditahan susulan kes gaduh dan langgar di Rawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG – Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes melibatkan rakaman video yang tular di media sosial iaitu seorang lelaki yang bertindak ganas melanggar seorang lelaki terbaring di atas jalan di sebuah kawasan di Bandar Country Homes di sini awal pagi semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan terhadap kes berkenaan dibuat mangsa kelmarin di Balai Polis Rawang di sini kira-kira pukul 4.40 petang hari ini.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pergaduhan itu melibatkan beberapa lelaki warga tempatan yang telah memukul, melanggar mangsa dengan motosikal dan seterusnya menyamun mangsa serta rakannya dengan mengambil sebuah motosikal dan dompet.

“Rakan mangsa cedera di kepala manakala mangsa pula calar-balar di beberapa bahagian tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil menambah, polis telah menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di kawasan Kundang, Selangor hari ini dan salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut melibatkan anggota Geng 08 dan motifnya adalah berkenaan masalah kawasan penjualan dadah.

“Ketua mereka yang bergelar Datuk Seri serta beberapa pemimpin tertinggi geng tersebut telah ditahan menerusi tindakan jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) melalui Ops Spider oleh Jabatan Siasatan Jenayah Selangor yang dijalankan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan tersebut sedang berada dalam keadaan kucar-kacir kerana masalah perebutan kuasa.

“Siasatan masih diteruskan dan saki-baki suspek juga akan terus diburu.

“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.

Difahamkan mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, Selangor sebagai pesakit luar.

Rakaman video yang tular itu memaparkan aksi ganas seorang lelaki bertindak melanggar mangsa yang terbaring dengan motosikal yang sengaja diletakkan pada perut mangsa sebelum menendang muka mangsa sebanyak beberapa kali sebelum mangsa pengsan akibat kecederaannya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN