PUTRAJAYA 1 Jun – Jabatan Imigresen mengesahkan tidak mempunyai rekod membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos ke luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jika kedua-dua individu tersebut didapati ke luar negara tanpa rekod, ia merupakan satu kesalahan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka.
“Kita tidak tahu di mana keberadaan mereka. Itu ada orang kata terlihat mirip Musa di luar negara. Imigresen macam mana hendak tahu sebab kita tiada rekod keluar bagi mereka.
“Kalau keluar tanpa rekod itu satu kesalahan dan mereka akan diambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan mendakwa individu mirip Musa kelihatan berada di London, United Kingdom (UK) manakala Jamal dikatakan telah berada di Indonesia.
Mustafar berkata, kedua-dua pemimpin politik itu telah disenaraihitamkan oleh jabatan berkenaan.
Tambahnya, tindakan ke luar negara tanpa mengikut pintu keluar yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 2 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/1963.
Berhubung program Rehiring yang akan tamat pada 30 Jun ini, Mustafar berkata, program itu tidak akan dilanjutkan.
Katanya, bermula 1 Julai, Ops Mega 3.0 akan digerakkan bagi menggempur pendatang asing tanpa izin di negara ini.
“Oleh itu semua pihak terbabit perlu menyelesaikan program rehiring ini dalam kerangka 30 hari ini bagi mengelakkan tindakan gempur oleh imigresen,” katanya. – UTUSAN ONLINE










