KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menegaskan akan meneruskan tugasnya seperti biasa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran mutakhir ini.
“Tiada Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) itu biasa dan cabaran sentiasa ada,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan DUN Chuping di Dewan 2020 di sini hari ini.
Komen beliau itu merujuk kepada pelantikannya sebagai Menteri Besar Perlis tanpa disokong sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Turut hadir pada majlis itu, dua ADUN BN iaitu Asmaiza Ahmad (Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer).
Namun, kedua-dua individu itu enggan memberikan sebarang komen mereka berhubung penolakan Azlan sebagai Menteri Besar Perlis.
Kosmo! melaporkan hari ini, sembilan ADUN BN Perlis tetap dengan pendirian mereka menolak Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.
Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberitahu, penolakan sembilan ADUN BN itu terhadap Azlan sebagai Menteri Besar adalah kerana beberapa faktor yang tidak sesuai diumumkan kepada media.
Katanya, mereka semua akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk memohon sembah ampun selain menerangkan salah faham yang berlaku sebelum ini pada minggu depan. BN Perlis juga mengemukakan 11 nama baharu termasuk nama Zahidi sendiri dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baharu kepada Istana Perlis. – K! ONLINE










