BANGKOK 5 Jun – Pihak berkuasa 61 wilayah di seluruh negara ini bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya hujan lebat pada minggu depan yang boleh mengakibatkan banjir besar, kata Jabatan Pencegahan Bencana dan Pengurangan (DPPM).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Chayapol Thitisak, amaran dikeluarkan berdasarkan beberapa faktor seperti keadaan cuaca semasa, pemeriksaan paras air dan ramalan Jabatan Meteorologi Thailand (TMD).
Chayapol berkata, tekanan di Laut China Selatan selain angin monsun semakin kuat di barat daya Laut Andaman, bahagian Selatan dan Teluk Siam akan membawa hujan lebat di beberapa kawasan di Utara, Timur Laut, Tengah dan Selatan.
Bangkok Post melaporkan, daripada 61 wilayah tersebut, 17 adalah di bahagian Utara, 17 di bahagian Timur Laut, 18 di bahagian tengah dan sembilan lagi di bahagian Selatan, kata Chayapol.
Pihak berkuasa wilayah dan pejabat DPPM tempatan, katanya, digesa supaya bersedia untuk menghadapi hujan lebat pada minggu depan dengan memperhalusi usaha untuk mendepani bencana banjir selain menyusun unit bantuan kecemasan dan peralatan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.
Para pegawai telah diarahkan memastikan saliran air banjir yang efektif terutamanya di sepanjang jalan utama dan dalam komuniti.
Menurut Chayapol lagi, mereka turut diminta untuk menggunakan pam air di sepanjang laluan air selain menyediakan kawasan yang boleh membantu penampungan air.
Sekiranya banjir berlaku, pusat arahan akan diwujudkan di kedua-dua bahagian wilayah dan daerah, katanya.
Pusat kecemasan di organisasi pentadbiran tempatan juga akan dibentuk untuk menangani sebarang masalah yang timbul.
Sekiranya perlu, tentera akan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menyokong perkhidmatan kecemasan selain menyediakan peralatan tambahan untuk membantu mangsa, katanya.
Di Trat, hujan lebat di daerah Muang dan kawasan persekitaran telah mempercepatkan kejadian banjir di sepanjang beberapa jalan di wilayah tersebut pagi semalam.
Dalam pada itu, pejabat DPPM di Trat mengeluarkan amaran hujan lebat yang boleh mengakibatkan tanah runtuh di daerah Bo Rai dan daerah Koh Chang untuk beberapa hari yang akan datang.
Sementara itu, banjir di Jalan Mittraphap di hadapan Central Plaza dekat Khon Kaen, daerah Muang mengakibatkan jalan lebih satu kilometer dinaiki air.
Banjir yang mencapai 60 sentimeter itu dilaporkan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan.











