KUALA LUMPUR – TGV Cinemas Sdn. Bhd. (TGV) bercadang membuka dua lagi pawagam menjelang tahun depan, sebuah di ICT Mall, Shah Alam dan satu lagi di PacifiCity Mall, Sabah, kata Pengurus Kanan Jabatan Konsesi TGV, Raymond Letchmanan.
“Kami bercadang untuk meningkatkan kehadiran kami di Malaysia Timur kerana kami percaya ada pasaran yang boleh diteroka,” katanya selepas pelancaran kedai sementara Cartoon Networks (CN) We Bare Bears di sini hari ini.
Buat masa ini, TGV mengendalikan 34 multipleks di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, Raymod berkata, perniagaan konsesi (makanan dan minuman) mencatatkan sehingga 50 peratus daripada jumlah perolehan TGV tahun lalu dan jualannya semakin meningkat sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan.
“Kami sudah menurunkan harga barangan mengikut yang sepatutnya dan akan menyemak semula harga apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan dilaksanakan,” katanya.
Berkenaan usaha sama TGV dengan CN, Ketua Jenama dan Komunikasi TGV, Ong Fui Yen berkata, kedai sementara itu disasarkan untuk golongan kanak-kanak dan keluarga sempena cuti sekolah.
“Kedai sementara ini akan dibuka di TGV Sunway Velocity sehingga 8 Julai,” katanya.
We Bare Bears adalah sitkom animasi Amerika yang dihasilkan oleh Daniel Chong untuk CN. – Bernama









