KUANTAN – Taktik permainan PKNP FC yang gemar melengahkan waktu telah menjejaskan rentak dan fokus pemain Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.
Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, pasukannya tidak dapat mempamerkan mutu permainan yang baik dan menghasilkan lebih banyak gol apabila perlawanan sering terhenti berikutan pemain lawan mengalami kecederaan.
“Saya rasa macam kami hanya bermain 25 minit sebab permainan sering terhenti dengan kecederaan. Ia mungkin betul atau mungkin taktik PKNP.
“Apabila mereka melengahkan waktu, kesannya corak permainan yang disusun oleh Pahang tidak menjadi.
“Ketika ketinggalan kami bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol tetapi tiba-tiba ada sahaja pemain mereka yang jatuh tercedera… Ini pastinya mengganggu fokus kami,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Namun, Dollah percaya situasi itu dapat diatasi pada saingan kedua di Ipoh pada 1 Julai nanti dengan percaturan baharu dan kemasukan tiga pemain utama yang tidak diturunkan akibat digantung perlawanan.
“Saya yakin kita boleh atasi PKNP FC dengan kemasukan tiga pemain utama iaitu Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih. Mereka adalah pemain berpengalaman dan sesuatu pasti dapat dilakukan walaupun kita beraksi di tempat lawan,” katanya.
Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau terpaksa menggunakan taktik bertahan, menyerang dan mengelak daripada melakukan banyak kesilapan mudah untuk mengikat skuad Tok Gajah dengan keputusan 1-1.
“Saya menyedari pasukan saya banyak kekurangan antaranya dari segi pengalaman dan pemain import, jadi saya menyusun strategi berkesan berdasarkan bedah siasat pada perlawanan menentang Pahang sebelum ini.
“Ini merupakan kali pertama PKNP FC melangkah ke separuh akhir dan saya bersyukur kerana kita mendapat banyak pendedahan apabila bertemu pasukan yang besar seperti Pahang.
“Sasaran kami pada Piala FA setelah berjaya melangkah sejauh ini ialah keluar daripada mentaliti sebuah kelab kecil kepada kelab yang memiliki impian besar,” katanya. – Bernama










