EKATERINBURG – Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez sukar untuk membuat penjelasan berhubung penyudah tumpul yang ditampilkan penyerangnya, Luis Suarez ketika menang 1-0 ke atas Mesir pada aksi Kumpulan A di Ekaterinburg Arena kelmarin.
Suarez yang juga bintang Barcelona mensia-siakan tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut, namun maruah Uruguay diselamatkan pemain pertahanan, Jose Gimenez yang meledak gol kemenangan.
Meskipun kecewa dengan aksi Suarez, namun Tabarez enggan menyalahkan penyerangnya itu sambil menegaskan, pemain-pemain ternama lain pernah berdepan situasi sama.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi saya enggan mengulas lanjut mengenainya. Saya pernah lihat beberapa pemain ternama seperti Lionel Messi dan Diego Maradona gagal menampilkan aksi sebenar mereka.
“Seperti yang anda lihat hari ini (kelmarin), Suarez gagal bermain seperti biasa tetapi masih mampu mencipta tiga peluang untuk menjaringkan gol. Penjaga gol mereka beraksi dengan baik,” kata Tabarez.
Dalam pada itu, beliau mengakui tetap gembira dengan sumbangan Suarez biarpun bekas penyerang Liverpool tersebut gagal mencetak sebarang gol kepada skuad kendaliannya.
“Jika pada prestasi terbaiknya, mungkin semua percubaan itu menerjah jaring, bagaimanapun saya tetap gembira apabila pemain memberikan segala-galanya kepada pasukan,” ujarnya. – Agensi










