MOSCOW – Pasukan Switzerland ternyata dalam kelas tersendiri selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Serbia 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Kaliningrad sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan yang menduduki ranking keenam dunia itu berada di posisi terbaik untuk layak ke pusingan 16 terbaik kerana hanya memerlukan satu mata pada aksi terakhir menentang Costa Rica nanti.
Sementara itu, Serbia berdepan laluan sukar untuk mara ke pusingan seterusnya kerana dijadualkan bertemu dengan juara dunia lima kali, Brazil dan perlu meraih mata maksimum.
Pada perlawanan sebentar tadi, Serbia terlebih dahulu berada di depan dengan gol tandukan cantik hasil jaringan Aleksandar Mitrovic pada minit ke-5.
Serbia menunjukkan dominasi pada babak pertama dan berpeluang menambah gol Dusan Tadic dan Nemanja Matic tetapi mereka gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Bersambung pada separuh masa kedua, Switzerland berjaya memperkemaskan jentera serangan dan meraih gol penyamaan hasil sepakan kencang Granit Xhaka pada minit ke-53.
Jaringan tersebut merentap semangat pemain Serbia dan peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh skuad kendalian Vladimir Petkovic untuk mengasak sepenuhnya pasukan lawan.
Gol kemenangan yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-90 menerusi Xherdan Shaqiri yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Serbia, Vladimir Stojkovic. – Agensi










