KUANTAN 1 Jun – Seorang suri rumah dari Raub dekat sini kerugian sebanyak RM38,000 akibat diperdaya sindiket ‘Love Scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook bulan lalu.
Lelaki yang mendakwa dirinya warga Amerika Syarikat itu dikatakan berhasrat menghadiahkan mangsa dan anak-anaknya wang sebanyak USD20,000 (RM79,630).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 42 tahun berkenalan dengan lelaki tersebut di Facebook pada 14 Mei lalu sebelum memberikannya nombor telefon pintar.
“Mangsa kemudian berbalas mesej di aplikasi WhatsApp dan suspek kononnya terharu serta menyatakan ingin memberikan hadiah wang sebanyak USD20,000 sebagai duit belanja untuk suri rumah berkenaan dan anak-anaknya.
“Suspek kemudian membuat transaksi sebelum memberitahu wangnya ditahan oleh pihak kedutaan kerana perlu membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, mangsa kemudian dihubungi oleh seorang lagi suspek yang mendakwa dari pejabat Kedutaan Amerika Syarikat serta memintanya membayar cukai berkenaan untuk mendapatkan wang yang ditahan.
“Tanpa mencurigai apa-apa, mangsa membuat pindahan wang beberapa kali dalam dua akaun berbeza yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM38,000.
“Mangsa sekali lagi diminta untuk menambahkan bayaran, namun dia tidak mempunyai wang sebelum mengesyaki dirinya ditipu oleh sindiket berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










