SHAH ALAM – Teka-teki siapa speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, 47, dari DAP mengangkat sumpah sebagai speaker dalam mesyuarat pertama penggal pertama DUN Selangor ke-14 hari ini.
Perlantikkan Suee Lim itu dicadangkan oleh Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari dan disokong oleh ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim.
Suee Lim yang merupakan Setiausaha Publisiti DAP menggantikan bekas speaker sebelum ini Hannah Yeoh Tseow Suan.
Sementara, ADUN Paya Jaras Mohd. Khairuddin Othman, 47, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan graduan undang-undang dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN selepas dicadangkan Chang Kim dan disokong oleh ADUN Kota Kemuning, Ganabatirau.
Kesemua 55 ADUN mengangkat sumpah pada mesyuarat pertama kali ini bermula pukul 10 pagi dimulakan oleh Amirudin kecuali ADUN Sungai Kandis, Suhaimi Shafie atas masalah kesihatan.
DUN Selangor kali ini menyaksikan dianggotai ADUN terdiri daripada PKR (25), Amanah (8), DAP (15 ), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (3) Barisan Nasional (4) dan Pas (1) -K!ONLINE










