KUANTAN 1 Jun – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 18 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM2,926 terhadap jiran mereka, Februari lalu.
Pengakuan Ramlee Abdullah, 57, dan Haspalela A. Rahman, 51, direkodkan di mahkamah berasingan di depan Majistret Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan Majistret Nurunaim Abdullah.
Pasangan dari Kempadang, di sini yang mengusahakan kedai runcit itu didakwa melalukan pecah amanah sejak 10 Februari hingga 1 April lalu ke atas seorang jiran, Fadzilah Mohamad, 41, di No.1 Blok A Kiosk Perumahan Pak Mahat dan di mesin pengeluaran automatik (ATM) di stesen minyak Petronas di bandar Kuantan di sini.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai orang yang diamanahkan dengan harta iaitu sekeping kad ATM Bank Simpanan Nasional atas nama mangsa dengan niat bersama melakukan pecah amanah termasuk dengan cara membuat pembayaran pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia atas nama Haspalela.
Bagi kesalahan tersebut yang dilakukan sebanyak 18 kali dengan amaun dikeluarkan antara RM6 hingga RM400 kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.
Kes kendalian Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah dan peguambela, Datuk Zaharman Zainal Abidin itu akan disebut semula pada 27 Jun ini. – UTUSAN ONLINE










