Suami isteri cemas, anak terperangkap dalam kereta selama 15 minit - Utusan Malaysia

Suami isteri cemas, anak terperangkap dalam kereta selama 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila anak perempuan mereka berusia dua tahun terperangkap dalam kereta kira-kira 15 minit di Jalan Tok Sulaiman, dekat Jeram, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an tersebut dikatakan meninggalkan anak mereka sendirian di dalam kereta Proton Persona dan mengambil barangan lain di dalam rumah.

Bagaimanapun, kereta yang dihidupkan enjin serta penghawa dingin itu terkunci dan pasangan tersebut yang panik telah bertindak menghubungi anggota bomba untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, pasangan tersebut mahu menziarahi keluarga terdekat sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Pegawai Bomba Ismayudin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu pada pukul 12.39 tengah hari.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera FRT bergegas ke tempat kejadian.

“Sampai di tempat kejadian, kanak-kanak itu masih terperangkap dalam kereta berkenaan.

“Dengan menggunakan peralatan khas, anggota bomba berjaya membuka pintu kenderaan terbabit dalam tempoh dua minit,” katanya.

Katanya, kanak-kanak itu kemudiannya dikeluarkan dan diserahkan kepada keluarganya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN