SAINT PETERSBURG 21 Jun – Neymar yang dikatakan sedang bertarung untuk pulih daripada kecederaan dijangka menjadi penentu untuk kembali meletakkan Brazil di landasan kemenangan apabila bertemu Costa Rica pada aksi kedua Kumpulan E Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 di sini malam esok.
Selepas dilayan dengan asakan keras pertahanan Switzerland ketika seri 1-1 pada aksi pertama minggu lalu, Neymar dilaporkan mengalami kecederaan tetapi sudah turun semula berlatih dengan pergerakan yang agak terhad.
Kemunculan semula Neymar di padang latihan sekurang-kurangnya memberi petunjuk dan harapan kemungkinan dia akan dapat diturunkan untuk membantu rakan sepasukan yang lain dalam meraih kemenangan yang dicari-cari.
“Neymar antara pemain terbaik di dunia. Sudah tentu dengan adanya dia, ia mampu memberi suntikan tambahan kepada kami. Dia cukup penting buat kami kerana kerap mencipta peluang dan ruang untuk menjaringkan gol,” kata pemain tengah, Philippe Coutinho.
Tidak hairanlah, kepentingan Neymar menjadikannya tumpuan lensa kamera ketika dia berlatih. Namun persoalannya adakah dia dapat diturunkan menentang Costa Rica?
Jika tidak, Coutinho mungkin terpaksa bertukar posisi daripada sayap kiri kepada antara tiga penyerang hadapan untuk membolehkan pengendali Brazil, Tite memantapkan semula bahagian tengahnya.
Bagi Costa Rica yang pernah menang sekali ke atas Brazil dalam 10 pertemuan mereka sebelum ini iaitu pada 1960, tidak mustahil mereka mampu mengulanginya kerana pernah menewaskan England, Itali dan Uruguay untuk mara ke suku akhir pada Piala Dunia empat tahun lalu.
Keyakinan itu disuarakan ketua pasukannya, Bryan Ruiz yang percaya Costa Rica boleh mengikut jejak Switzerland sebagai contoh untuk mengejutkan Brazil sekali lagi.
“Switzerland memberi tekanan kuat di bahagian tengah dan itu yang perlu dilakukan kerana Brazil memang mempunyai kekuatan di bahagian itu hingga ke serangan.
“Jadi kami perlu berusaha merampas bola dengan segera dan melakukan serangan balas pantas juga dengan segera,” kata penyerang kelab Sporting Lisbon itu. – AFP










