KUALA LUMPUR 6 Jun – Dua lelaki yang seorang daripadanya merupakan pemilik sebuah syarikat pengurup wang sedang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki tersebut, Mohamed Redzuan Adamshah, 43, dan Toh Lean Seng, 45, telah melarikan ke luar negara sejak siasatan berkenaan dibuka pada 2015.
“SPRM sebelum ini ada menghubungi kedua-dua lelaki itu bagaimanapun mereka gagal dikesan memandangkan syarikat pengurup wang tersebut tidak lagi beroperasi sejak 2005,” katanya.
Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, Mohamed Redzuan yang memegang kad pengenalan 750204-07-5323 mempunyai alamat terakhir di No 1E, Cresent Court Apartmen, Tingkat 1, Lengkok Tun Sambathan, Brickfields, 50470, Kuala Lumpur.
Ujarnya, Lean Seng yang memegang kad pengenalan 730904-07-5131 pula beralamat terakhir di 15-1, 231 TR Service Apartmen 231, Jalan Tun Razak, 50490, Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai dua individu itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Rosli Husain di talian 03-8870 0529 atau 010-3187757 atau email kepada [email protected],” katanya.
Sebelum ini, pada 22 dan 24 Mei lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipanggil sebanyak dua kali oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes SRC International.











