KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) menfailkan saman fitnah RM250 juta terhadap akhbar Berita Harian di bawah Kumpulan News Straits Time Press (NSTP) berhubung artikel projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
SPSB menamakan wartawan, Che Wan Badrul Alias dan Berita Harian menerusi artikel online dan bercetak mengenai syarikat itu yang terlibat sebagai Pemaju Utama KLVC di Jalan Semarak di sini.
SPSB dalam kenyataan berkata, laporan di dalam akhbar itu tidak tepat dan berat sebelah telah mencemar reputasi syarikat berkenaan.
“Di dalam artikel itu melaporkan tanah milik Felda yang diruruskan SPSB bakal mengalami kerugian.
“Artikel itu juga tidak selaras dengan prinsip kewartawanan yang adil dan tidak tepat di mana antara lainnya Berita Harian membuat tuduhan bahawa SPSB telah secara salah memindahkan aset milik Felda yang menyebabkan Felda mengalami kerugian,” katanya.
SPSB sebelum ini telah memberi notis permohonan maaf berhubung artikel itu pada 1 Jun lepas namun pihak NSTP gagal berbuat demikian.
“SPSB telah memohon injuksi mahkamah agar NSTP tidak mengulangi penyiaran artikel ini dan menyiarnya.
“Kami menuntut saman fitnah RM250 juta terhadap kedua penamaan berkenaan iaitu NSTP dan wartawan terbabit dan permohonan maaf mengikut syarat yang dipersetujui SPSB,” jelasnya.
Kes itu difailkan oleh firma tetuan Reza, Rahim dan Rajivan mewakili SPSB. – K! ONLINE











