KUALA LUMPUR 26 Jun – Bantuan dan sokongan kuat daripada pertubuhan sivil di seluruh negara menjadi antara faktor utama kejayaan Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bulan lalu.
Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peranan yang dimainkan pertubuhan sivil amat dihargai dan kerjasama yang lebih rapat antara kerajaan dengan pertubuhan tersebut akan diusahakan.
“Sokongan pertubuhan sivil adalah salah satu daripada faktor yang membantu kemenangan Pakatan Harapan dan dalam kerangka pentadbiran baharu, layanan yang lebih baik terhadap pertubuhan sebegini akan terus diusahakan.
“Kami di Pakatan Harapan juga berharap pertubuhan ini akan terus sudi untuk membantu menjadi pemantau bagi kerajaan baharu ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Keraian dan Sesi Dialog Ahli Parlimen bersama Pertubuhan Sivil di Kelab Diraja Selangor di sini hari ini.
Seramai 25 ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dalam majlis ini termasuklah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Antara pertubuhan sivil yang hadir, Majlis Peguam, Pusat Menentang Korupsi dan Kronisme (C4), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). – UTUSAN ONLINE










