GELENDZHIK, Rusia 21 Jun – Biar pun menyedari Iceland adalah lawan yang sukar, skuad muda Nigeria masih menaruh harapan agar tidak pulang awal daripada Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 di Rusia kali ini.
Sebaliknya jurulatih Super Eagles itu, Gernot Rohr berazam akan cuba mengatasi perasaan gementar anak buahnya yang mempunyai purata umur sekitar 25 tahun. Ini termasuk penjaga gol berusia 19 tahun, Francis Uzoho.
““Kadang-kadang pemain kami tidak cukup berpengalaman untuk melakukan gerakan atau tipu helah. Jadi kami akan cuba mengatasi kelemahan itu. Kami hanya satu mata sahaja di belakang Iceland.
“Jadi terserah kepada kami untuk menentukannya. Yang penting bersikap positif dan biarkan pemain saya belajar daripada kekalahan lalu dengan cuba bermain dengan lebih baik,” katanya menjelang aksi kedua Kumpulan D tersebut.
Nigeria tewas 0-2 kepada Croatia pada aksi pertama minggu lalu berbanding Iceland yang berjaya mengikat Argentina 1-1. Ini menyebabkan kedua-dua pasukan begitu terdesak untuk mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua kalah mati.
Iceland sudah pun membuktikan kemampuan mereka ketika menyekat Lionel Messi daripada bermaharaja lela dan jurulatih Heimir Hallgrimsson sudah pasti mempunyai satu lagi strategi untuk menjinakkan Nigeria.
Walaupun dikritik hebat pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia kali ini, Iceland sebaliknya banyak belajar daripada pengalaman sulung ini.
“Mungkin mereka (pengkiritk) boleh gembira jika kami bermain secara menyerang tetapi kemudiannya kalah 0-5. Itu sebab semua orang bebas melontarkan pandangan tetapi kami tidak peduli,” kata penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti Messi sebelum ini.
Pertemuan dengan Nigeria, tambah Halldorsson, 34, dijangka lebih terbuka berbanding ketika bertemu Argentina memandangkan kedua-dua pasukan ingin mencari kemenangan.
“Nigeria adalah pasukan yang sukar ditewaskan. Mereka pantas dan lebih senang dibaca permainannya berbanding Argentina. Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza dalam banyak perkara,” tegasnya. – AFP










