KUANTAN 5 Jun – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyantuni masyarakat di sekitar daerah ini sempena bulan Ramadan menerusi pelaksanaan Program Singgah Sahur baru-baru ini.
Program memasuki tahun kelima penganjurannya itu bertujuan mengagihkan juadah bersahur kepada masyarakat terutama anggota keselamatan, agensi kerajaan dan penghuni rumah anak yatim.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada petugas yang bekerja pada sebelah malam iaitu dalam kalangan penjawat awam dan agensi kerajaan yang menjaga keamanan serta keselamatan daerah ini.
“Program ini berkonsepkan singgah dan bermesra dengan mereka yang menjalankan tanggungjawab bekerja pada sebelah malam. Pada masa sama, kita meraikan mereka dengan mengagihkan juadah bersahur.
“Selain itu, kakitangan dan mahasiswa UMP berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat sekali gus merapatkan hubungan silaturahim serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan sukarelawan,” katanya di sini baru-baru ini.
Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Respec) dan Pejabat Naib Canselor universiti itu dengan kerjasama Persatuan Alumni UMP menyertai program berkenaan.
Menurut Yuserrie, program yang menjadi acara wajib universiti itu setiap kali tibanya bulan Ramadan dilihat sebagai usaha menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang tenaga kepada negara.
Antara lokasi dikunjungi adalah Plaza Tol Gambang, Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Hospital Tunku Ampuan Afzan.
“Kita juga singgah dan beramah mesra dengan petugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Teluk Cempedak dan Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Kuantan,” katanya.
Tambah beliau, sukarelawan juga berpeluang bersahur dengan penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Nur Iman selain penyampaian sumbangan bernilai RM3,000 kepada rumah anak yatim berkenaan.
Dalam pada itu, program Ziarah Prihatin Ramadan yang diadakan UMP berjaya mengumpul RM27,000 bagi membantu 100 keluarga termasuk asnaf, ibu tunggal, warga tua, pesakit kronik dan mualaf di daerah ini.











