SINGAPURA – Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen hari ini mengadakan pertemuan rasmi pertama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia yang baru dilantik Mohamad Sabu di luar Dialog Shangri-La (DSL) ke-17 di sini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Singapura berkata, pada pertemuan itu, kedua-dua menteri memperakui hubungan pertahanan yang baik dan kukuh sejak sekian lama antara Singapura dan Malaysia yang turut menyaksikan perkembangan baik termasuk yang terkini eksesais antara tentera udara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, Eng Hen dan Mohamad Sabu yang turut dikenali sebagai Mat Sabu memperakui kerjasama baik kedua-dua negara menerusi platform serantau seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus serta Aturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA).
Pada pertemuan itu, Eng Hen dan Mat Sabu turut berbincang tentang cabaran serantau seperti situasi di wilayah Rakhine.
Menurut kenyataan itu, pasukan pertahanan Singapura dan Malaysia sentiasa berinteraksi merangkumi pelbagai kegiatan termasuk eksesais dua hala, lawatan dan pertukaran, kursus kehadiran silang serta kegiatan berbilang hala. – Bernama










