JOHOR BAHRU 2 Jun – Kerajaan negeri ini digesa untuk bersuara dan menyatakan pendirian berhubung pelbagai perkara berkaitan dengan Johor seperti pembatalan projek Keretapi Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan isu Pulau Batu Putih.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian perlu memainkan peranan dalam perkara tersebut demi keadilan untuk negeri ini.
“Mereka perlu memainkan peranan untuk menyampai dan memaklumkan kepada Pusat bahawa tidak semua perkara yang Pusat buat sesuai serta menepati kehendak dan keperluan Johor, ia tidak boleh mengamalkan pendekatan one size fits all.
“Kemajuan ekonomi, kedudukan, keperluan Johor berbeza dengan negeri lain. Jadi, kerajaan negeri perlu mengambil input dan sampaikan kepada Pusat supaya memahami kedudukan negeri ini dan bukan hanya semata-mata terima keputusan Pusat.
“Kerajaan negeri tidak boleh terus berdiam kerana tidak akan membawa keadilan kepada Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Desa Perwira di sini sebentar tadi.
Mohamed Khaled berkata, sikap berdiam diri kerajaan negeri boleh mengganggu dan merencat pembangunan Johor. – UTUSAN ONLINE










