SIDANG Kemuncak G7 di Kanada dilihat gagal menyelesaikan perbezaan yang semakin mendalam antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan pemimpin-pemimpin negara industri utama.
Trump seakan-akan tidak sehaluan dengan pemimpin-pemimpin negara maju yang lain dan perbezaan pendapat yang semakin ketara itu sudah dapat dilihat dengan jelas bermula dari sesi pertama sidang kemuncak pada Jumaat lalu.
Pemimpin AS itu membuat kejutan pada sesi perbincangan tersebut apabila menyeru agar penggantungan Rusia daripada blok berkenaan ditamatkan.
Rusia digantung daripada menyertai kumpulan ekonomi termaju dunia itu, selepas Moscow merampas rantau Crimea daripada Ukraine.
Tindakan tersebut mengundang kemarahan pemimpin-pemimpin G7 dengan Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan semua anggota EU yang menghadiri sidang kemuncak itu menentang idea tersebut.
Sidang kemuncak itu turut menjadi medan sekutu AS meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Trump mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium ke atas EU, yang dikhuatiri mampu mencetuskan perang perdagangan global.
Kanada menyifatkan tarif yang diumumkan Trump itu tidak sah dan tidak adil sementara Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk memberi amaran bahawa pendirian Trump mengenai perdagangan telah mengancam peraturan antarabangsa.
Perdana Menteri Britain, Theresa May turut lantang membantah tindakan Trump apabila meminta Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap tarif tersebut.
Percanggahan pendapat antara Trump dan enam pemimpin lain itu turut melibatkan perubahan iklim, hubungan dengan Iran dan konflik Israel-Palestin.
Bagaimanapun mungkin lebih baik untuk dunia melihat sendiri perbezaan pendirian tersebut dengan jelas dan bukan memberikan harapan palsu terhadap perpaduan atau berpura-pura bahawa semuanya baik seperti yang ditegaskan Merkel di akhir sidang kemuncak itu.
Negara-negara lain pula masih percaya kesepakatan masih mampu dikecapi dan Trump sendiri masih mengharapkan kemajuan sekalipun beliau dilihat sudah semakin terasing dan dipulaukan.
Trump kelihatan tidak suka berunding dalam kumpulan itu, namun ramai masih percaya beliau mampu mencari kesepakatan ketika berdepan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura esok.










