Sibuk menjelang sambutan Aidilfitri - Utusan Malaysia

Sibuk menjelang sambutan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 3 Jun – Setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri, tukang jahit adalah antara individu yang tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan yang lebih suka memilih pakaian ditempah berbanding pakaian sedia dipakai di pasaran.

Bagi seorang tukang jahit, Nur Amiera Abd. Razak, 25, dari Perumahan Bukit Rangin Perdana di sini, tempahan yang diterimanya setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri meningkat berbanding hari biasa.

Wanita itu yang menceburi bidang berkenaan sejak tiga tahun lalu berkata, dia mula menerima tempahan menjahit baju raya sejak Disember lalu yang rata-rata terdiri daripada pelanggan tetapnya.

“Saya mula mengambil tempahan dari Disember tahun lepas untuk baju raya tahun ini dan tempahan ditutup sejak dua bulan lalu kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi.

“Sebanyak 100 helai baju raya yang ditempah sejak Disember lalu perlu disiapkan sebelum Aidilfitri dan separuh daripadanya sudah diberikan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di di rumahnya hari ini.

Nur Amiera berkata, selain daripada pelanggan yang sudah biasa dengan hasil jahitannya, perniagaannya turut mendapat perhatian daripada pelanggan dari luar daerah ini iaitu mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan di luar daerah ini yang mengetahui mengenai perniagaannya melalui promosi mulut ke mulut.

“Pada awalnya saya hanya menjangkakan pelanggan tertumpu di kawasan sekitar daerah ini sahaja, tetapi tidak sangka hasil kerja saya tersebar ke negeri lain.

“Kebanyakkan apabila ditanya dari mana mereka mendapat maklumat mengenai jahitan saya, mereka menjawab hasil perbualan daripada rakan-rakan yang sememang­nya pelanggan tetap saya.

“Ia secara tidak langsung membantu meningkatkan jumlah tempahan terutamanya menjelangnya musim perayaan ini,” ujarnya.

Selain menjahit pakaian tradi­sional wanita seperti baju kurung, kebaya dan jubah, dia mahir menjahit pakaian lelaki se­perti baju Melayu dan kurta dengan mengenakan upah yang berpatutan bermula dari RM45 hingga RM90, tambahnya.

Kata Nur Amiera yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat bimbingan kanak-kanak dekat sini, perkara yang sentiasa menjadi keutamaan dirinya adalah kepuasan pelanggan yang memakai baju hasil jahitannya selain mengekalkan mutu jahitan setiap baju.

“Saya memilih waktu cuti hujung minggu untuk menyiapkan tempahan pelanggan bagi memastikan baju yang dijahit itu bermutu memandangkan saya sibuk bekerja pada hari biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN