PUTRAJAYA – Penyiasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) menjadi keutamaan segera Peguam Negara (AG) yang baru dliantik, Tommy Thomas, sebaik sahaja beliau memulakan tugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita ketika melangkah masuk ke lobi AGC pada kira-kira 1.20 tengah hari, Thomas yang sebelum itu menghadiahkan senyuman kepada mereka yang setia menunggu sehingga beliau turun dari kereta, terus menuju kepada sekumpulan wartawan dan mengeluarkan skrip untuk dibaca.
“Keutamaan segera saya adalah semua perkara berkaitan 1MDB. Oleh itu, saya perlu meneliti kertas berkaitan skandal itu. Kami akan kenakan prosiding jenayah dan sivil di mahkamah terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan tiada siapa pun yang akan terlepas. Tiada apa yang akan disembunyikan,” katanya.
Thomas berkata, AGC akan segera menghubungi rakan sejawatannya di Amerika Syarikat, Switzerland, Luxembourg, Singapura dan pihak berkuasa lain bagi menghulur kerjasama dan bantuan penuh kepada mereka dalam semua perkara berkaitan 1MDB agar wang berjumlah berbilion ringgit yang dicuri daripada pembayar cukai dipulangkan kepada Malaysia.
Ditanya sama ada terdapat individu tertentu yang akan beliau siasat terlebih dahulu atau adakah beliau mempunyai senarai individu berkenaan dalam fikirannya ketika ini, Thomas berkata beliau perlu meneliti kertas dan dokumen yang ada terlebih dahulu. – Bernama











