MUKADIMAH
TURUN dengan reputasi juara dunia 1998 dan juara Eropah 1984 serta 2000, Perancis yang dibarisi ramai nama besar menjadi pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan C.
Diketuai Antoine Griezmann, Olivier Giroud, Ousmane Dembele, Thomas Lemar dan Kylian Mbappe, jentera serangan skuad Les Bleus tampak terlalu ampuh, malah mereka juga memiliki N’Golo Kante, Blaise Matuidi dan Paul Pogba di bahagian tengah, selain Hugo Lloris menjaga gawang.
Pada ketika Perancis dilihat terlalu kuat, persaingan lebih terarah kepada siapa bakal mengiringi mereka ke pusingan kedua, sama ada Denmark, Peru atau Australia.
BEKAS juara, Perancis membawa skuad paling berbakat pada Piala Dunia kali ini, sekali gus meletakkan mereka bukan sahaja sebagai calon untuk muncul juara Kumpulan C, malah membawa pulang kejuaraan buat kali kedua.
Begitupun, tumpuan keterlaluan yang diberikan kepada anak-anak buah Didier Deschamps dikhuatiri mampu menenggelamkan mereka di Rusia, apatah lagi tiga lagi pencabar – Denmark, Peru serta Australia bukan pendatang baharu Piala Dunia.
Denmark dan Peru dilihat sebagai calon utama untuk mengiringi Perancis ke peringkat kalah mati selaku naib juara kumpulan, begitupun Australia yang memiliki penyerang berpengalaman, Tim Cahill tidak boleh dipandang ringan.
Bakal membariskan trio serangan paling ampuh diketuai Griezmann, Mbappe serta Dembele, ia sesuatu yang mengejutkan jika Perancis gagal melepasi peringkat kumpulan.
Deschamps, yang menjadi kapten Les Bleus ketika mereka merangkul Piala Dunia 1998 turut memiliki pertahanan yang kukuh diketuai penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris serta dua tonggak Real Madrid dan Barcelona, Raphael Varane serta Samuel Umtiti.
Kehilangan Laurent Koscielny akibat kecederaan Achilles satu tamparan, namun ia tidaklah menjejaskan kekuatan Perancis.
Begitupun, bahaya paling besar buat Perancis adalah pengharapan terlalu tinggi yang diletakkan oleh penyokong serta media mereka.
Seperti Perancis, Denmark juga membariskan ramai pemain berbakat diketuai bintang tengah Tottenham, Christian Eriksen serta pertahanan muda Chelsea, Andreas Christensen.
Penyerang Rosenborg, Niklas Bendtner yang meledak 30 gol antarabangsa turut berupaya membawa negaranya ke peringkat kalah mati.
Peru yang mengejutkan banyak pihak apabila layak ke Rusia turut memiliki keupayaan sebagai satu unit dengan bintang sayap Aalborg, Edison Flores dan penyerang Lokomotiv Moscow, Jefferson Farfan bakal mengetuai serangan.
Australia sebagai pasukan yang kerap beraksi dalam Piala Dunia turut mampu memberi tentangan, biarpun ranking mereka kali ini adalah yang paling teruk berbanding penyertaan sebelumnya.
Tim Cahill, yang membuat penampilan keempat dalam Piala Dunia pada usia 38 tahun masih menjadi sandaran utama skuad Socceroos.










