Bagi kebanyakan orang, Syawal adalah momen yang paling tepat untuk menghabiskan masa di kampung halaman bersama keluarga dan sanak saudara yang selama ini jarang bersua muka. Bagaimanapun, urusan tersebut tidak dapat dirasai pasangan suami isteri romantis, Shuib dan Siti Sarah.
Hal ini kerana sejak dua tahun lalu, kediaman mereka di Kuala Lumpur telah menjadi tempat perhimpunan ahli keluarga masing-masing. Biarpun sedikit ralat tidak berpeluang beraya dalam suasana kampung, mereka tetap gembira dapat berkumpul bersama keluarga tercinta.
“Sudah dua tahun kami tidak pulang ke kampung kerana ibu kandung dan mertua akan beraya dengan kami di Kuala Lumpur. Kami tidak kisah beraya di mana sekalipun asalkan bersama orang tersayang.
“Sebenarnya ada juga rasa ‘cemburu’ tengok orang lain beraya di kampung, namun kami terperuk di kota. Apa boleh buat. Lagipun, ibu kandung dan ibu mertua saya sudah memudahkan urusan kami dengan beraya bersama kami sekeluarga di sini (Kuala Lumpur),” jelas Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 33, yang kebiasaannya beraya sama ada di Johor Bahru atau Perak (belah mertua).
Sederhana
Ditanya mengenai persiapan hari raya, Shuib sebagai ketua keluarga menjelaskan, tidak banyak persiapan yang dilakukan pada tahun ini. Kalau ada pun, semuanya dilakukan hujung waktu.
“Bukan kedekut. Kalau ada baju yang elok lagi, kita boleh pakai lagi. Persiapan lebih tertumpu untuk anak-anak kerana mereka lebih memerlukan berbanding saya dan isteri.
“Untuk saya dan Sarah, kami tidak terlalu berhabis. Bulan Syawal tidak sepatutnya menjadi bulan membazir dan berhabis duit. Lebih baik kita panjatkan kesyukuran dan menghabiskan masa bersama dengan orang tersayang,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin itu ceria.
Menjawab soalan berkenaan tradisi hari raya, Sarah mencelah: “Bab makanan Shuib memang tidak cerewet. Dia tiada spesifik kuih kegemarannya. Kalau makanan utama raya mesti ada juadah seperti rendang daging, kuah kacang, sambal sotong, lontong serta lodeh. Oh, tidak dilupakan daging Bali,” kata pemilik nama sebenar Siti Sarah Raisuddin pula.
Tambah Sarah lagi, sudah menjadi kelaziman juga tetamu wajib yang hadir ke rumah mereka setiap kali raya adalah Mark Adam.
“Mark Adam umpama keluarga. Kami suka melepak bersama di rumah menikmati juadah Syawal sambil berborak. Kedengaran seperti momen raya biasa tetapi itulah kelaziman setiap tahun,” kongsi pelantun lagu Kesetiaan itu.
Diajak berbicara mengenai imej bertudung yang digayakannya sejak kembali mengerjakan umrah bersama Shuib, Ramadan lalu, Sarah memohon agar peminat mendoakan untuk terus istiqamah dalam mengekalkan imej sebegitu.
“Saya mendapat banyak mesej peribadi (DM) daripada peminat di Instagram yang memuji apabila saya bertudung sejak kembali dari Tanah Suci.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana hal ini adalah urusan antara saya dengan Tuhan. Saya tidak mahu mencanang akan terus pakai tudung, namun selepas beberapa ketika tidak dapat meneruskan niat itu,” katanya.
Saat isu sama dilencongkan kepada Shuib, pelawak dan pelakon itu menjawab spontan: “Kalau Sarah sayang saya kerana Allah, dia akan teruskan imej bertudung.”











