KUALA LUMPUR 23 Jun – Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada arena politik tanah air selepas kira-kira 39 tahun berkecimpung dan menyumbang bakti kepada UMNO dan negara.
![]() |
|
SHAHRIZAT
|
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, sudah tiba masanya Wanita UMNO mempunyai seorang ketua baharu yang lebih muda dan membawa idea lebih segar.
Walau bagaimanapun, jelas Shahrizat, beliau masih lagi kekal bersama UMNO sebagai ahli biasa.
“Dalam politik, kita mesti tahu bila masanya untuk mengundur diri. Sudah lebih sembilan tahun mengetuai Wanita UMNO dan saya yakin meninggalkannya dalam keadaan terbaik dengan ramai pemimpin berwibawa.
“Saya berharap Wanita UMNO di bawah ketua baharu akan meneruskan perjuangan untuk mengarusperdanakan lagi golongan ini dalam dunia politik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengundi dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bermula serentak di 191 bahagian pada 9 pagi ini.
Shahrizat memutuskan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan kali ini dengan seramai tiga tokoh bertanding untuk jawatan tersebut iaitu Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun sementara empat lagi dicalonkan bagi Naib Ketua Wanita. – UTUSAN ONLINE












