KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta di sini sebentar tadi terhadap bekas Pengerusi Lembaga Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak tahun lalu.
Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan dengan menamakan Shahrir sebagai defendan.
Saman yang dikemukakan atas kapasiti peribadi itu dibuat berikutan kenyataan Shahrir berkaitan isu tanah Felda tersebut. Shahrir didakwa membuat kenyataan berkenaan antara Disember 2017 hingga Mac tahun ini di media YouTube, laman sosial Facebook dan portal.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu telah menyebabkan imej plaintif tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek-projek yang sedang diusahakan.
Sehubungan itu plaintif menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan tersebut.
Selain itu, plaintif turut menuntut defendan mengemukakan kenyataan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui yang akan disiarkan dalam lima akhbar nasional selain ganti rugi sebanyak RM100 juta serta memberi aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan itu. – K! ONLINE










