Sesuaikan diri bina karier di Eropah - Utusan Malaysia

Sesuaikan diri bina karier di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN yang ada pada pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) apabila bersama keluarga angkat ketika beraksi di peringkat Eropah memberi kelebihan sekiranya mereka berpeluang untuk mengembangkan karier pada peringkat tertinggi di negara-negara terbabit satu hari nanti.

Setiap pemain yang diterbangkan ke Eropah akan diberikan keluarga angkat untuk menjalani kehidupan sepanjang latihan dan berdepan perlawanan persahabatan serta kejohanan yang dijadualkan.

Sebelum pasukan berangkat ke luar negara, para pemain telah disiapkan serta disediakan keluarga angkat masing-masing yang bakal menyambut ketibaan mereka dan semuanya telah di­atur oleh pihak penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar mengakui pendedahan tersebut amat penting kepada semua pemain muda supaya mereka dapat menyesuaikan diri bersama masyarakat di Eropah.

“Konsep ini amat diperlukan kerana semua pemain perlu mempunyai hubu­ngan yang akrab ketika berada di luar negara terutamanya untuk jangka masa panjang.

“Pemain AMD akan menjalani kehidupan bersama keluarga mempunyai anak yang turut bermain di akademi kelab terkemuka Eropah.

“Apabila mereka menjalani kehidupan bersama keluarga angkat, pemain kita dapat mempelajari serta melihat cara kehidupan, pemakanan dan rutin harian masyarakat di sana dengan lebih jelas.

“Kemungkinan cara pemakanan mereka turut memberikan kesan kepada anak muda bagi mengekalkan stamina dan kecergasan agar mereka dapat beraksi dengan baik se­perti mana pemain terkemuka di Eropah sekarang,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Setiap dua atau tiga pemain akan diberikan satu keluarga ang­kat setibanya ke destinasi seperti skuad AMD bawah 13 tahun (B-13) yang tinggal bersama ibu bapa pemain akademi di beberapa kelab terkemuka di Perancis pada April lalu.

Pemain dapat menjalani kehidupan hampir sebulan bersama mereka serta hubungan tersebut tidak terputus begitu sahaja selepas pulang ke Malaysia kerana hampir setiap tahun skuad AMD akan dijemput untuk menyertai kejohanan di peringkat Eropah seperti di Pe­rancis, Jerman dan Belanda.

Pada masa sama, Safirul turut berharap pengalaman yang ada dapat digunakan dengan sebaik mungkin apabila berkemungkinan mereka akan beraksi bersama pasukan di luar negara.

“Kita mahu hubungan yang sedia ada ini memudahkan mereka menjalani kehidupan sekiranya mereka mendapat tawaran ber­aksi di sana selepas usia 18 ­tahun.

“Tidak mustahil kita akan ber­aksi di Eropah selepas beberapa pemain telah menunjukkan kemampuan luar biasa setelah berjaya dinobatkan pemain terbaik dalam beberapa kejohanan yang telah berlangsung.

“Kita tidak mahu pemain berfikir dua kali selepas mendapat tawaran terutamanya tentang masalah untuk menjalani kehidupan baharu di luar negara seorang diri.

“Sekiranya pemain mempunyai hubungan baik dari sekarang, mereka lebih mudah serta terbuka untuk membina karier di peringkat atasan suatu hari nanti. Mereka tidak mempu­nyai masalah seperti mana yang dihadapi beberapa pemain yang pulang kembali ke tanah air selepas beraksi beberapa bulan ­sahaja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN