SHAH ALAM 30 Jun – Keputusan seri 1-1 sudah cukup untuk membawa Selangor mara ke final Piala FA selepas berjaya mengikat lawan mereka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC pada aksi kedua separuh akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Berbekalkan kemenangan 4-0 pada aksi pertama di Stadium KLFA pada 23 Jun lalu, Selangor berjaya layak menerusi kemenangan agregat 5-1 untuk menempah pertemuan pemenang antara Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang hanya akan membuat perhitungan esok.
Pada aksi malam ini, Selangor lebih dulu di depan apabila penyerang import Sepanyol mereka, Rufino Segovia del Burgo yang melakukan hatrik pada aksi pertama separuh akhir lalu sekali lagi beraksi cemerlang untuk membuka jaringan pada minit ke-71.
PKNS FC bagaimanapun tidak patah semangat apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir permainan tetapi sudah terlewat untuk menyekat hajat Selangor yang sudah pun selesa.











