KUCHING 4 Jun – Polis Sarawak menahan 79 individu dengan rampasan wang tunai terbesar berjumlah RM263,730 setakat ini yang disyaki terlibat aktiviti perjudian haram di 17 daerah di negeri ini.
Dalam operasi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terlibat dalam 54 serbuan sejak 25 Mei hingga semalam.
Ketua JSJ Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua suspek yang ditahan di Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Bau, Mukah, Bintulu, Sri Aman, Limbang, Seratok, Matu Daro, Lundu, Song, Maradong, Marudi, dan Sarikei.
Katanya, mereka ditahan berusia 17 hingga 63 tahun.
“Bertindak atas maklumat dan risikan polis, sebanyak 33 serbuan dilakukan di tempat menjual loteri haram, judi dalam talian (17) dan empat judi haram.
“Hasil serbuan, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM263,730, 19 unit telefon bimbit, dua komputer, dua set holo, slip pertaruhan dan perkakasan lain,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE










