KAZAN 21 Jun – Diego Costa membantu La Roja menghidupkan peluang ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 selepas jaringannya membolehkan Sepanyol meraih kemenangan ke atas Iran 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan B di Kazan Arena, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus membantu Sepanyol mengumpul empat mata selepas dua perlawanan dan kini berada dalam kelompok dua terbaik Kumpulan B bersama Portugal.
Dalam perlawanan tersebut kedua-dua pasukan bermula dengan baik yang menyaksikan Iran dan Sepanyol mempunyai beberapa percubaan jaringan ketika babak pertama saingan.
Aksi separuh masa kedua lebih menarik kerana Sepanyol mula mempamerkan corak permainan pantas ketika melakukan serangan dalam kawasan kotak penalti Iran.
Corak permainan bertahan Iran pada separuh masa kedua seakan menyukarkan Sepanyol untuk mendapatkan gol sebelum juara dunia 2014 itu berhasil menembusinya menerusi jaringan Costa pada minit ke-54. – AGENSI











