MOSCOW – Cristiano Ronaldo terus menjadi watak penting buat Portugal setelah jaringan tunggalnya berjaya membantu pasukan itu merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Maghribi pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Luzhniki malam tadi.
Penyerang Real Madrid itu menjadi inspirasi buat pasukan yang dikenali dengan nama jolokan Selecao dalam misi memburu gelaran kedua buat Portugal selepas menjuarai Euro 2016 lalu.
Dalam aksi kedua Kumpulan B itu, Ronaldo yang mencipta hatrik ketika seri 3-3 bertemu Sepanyol pada aksi pertama, tidak mengambil masa lama membuka tirai jaringan dengan meledak gol pertama seawal minit keempat.
Kapten Portugal itu bijak memanfaatkan hantaran hasil sepakan penjuru daripada Joao Moutinho dengan menanduk bola ke gawang, sekali gus menewaskan penjaga gol Maghribi, Munir Mohamedi.
Bersambung pada babak kedua permainan, skuad kendalian Fernando Santos mula mempamerkan corak permainan lebih berhati-hati selepas mula diasak hebat Maghribi.
Maghribi berjaya menguasai permainan berbaki 15 minit terakhir tetapi skuad kendalian Herve Renard gagal mencari gol penyamaan, sekali gus keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Portugal meraih empat mata, manakala Maghribi yang hampir pasti tersingkir gagal meraih sebarang mata sepanjang dua perlawanan.
Portugal akan menutup kempen Kumpulan B bertemu Iran, manakala Maghribi bakal berdepan laluan sukar menentang pasukan pilihan, Sepanyol pada Selasa depan. – Agensi










