KELIHATANNYA agak rumit, namun ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Mungkin bagi sesetengah individu, seni kerja tangan atau kraf sesuatu yang rumit untuk dilakukan.
Selain memerlukan pengorbanan masa, kraf juga menuntut seseorang itu untuk lebih berfikiran kreatif bagi mendapatkan hasil tangan yang lebih memuaskan.
Dewasa ini, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menambah sumber pendapatan. Malah, tidak kurang juga yang menjadikan seni kraf sebagai punca rezeki utama untuk diraih walaupun kadangkala hasil yang diperoleh tidaklah seberapa.
Sama seperti yang dilakukan oleh Mohd. Amri Johari, 33, meskipun dia memiliki segulung ijazah dalam bidang polimer dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, dia tidak teragak-agak memilih kerjaya sebagai pembuat kraf secara DIY (Do It Yourself) apabila menghasilkan gubahan kotak ucapan dengan pendekatan unik dan tersendiri.
Belajar sendiri
Dikenali sebagai The Explosion Box atau kotak kejutan, hadiah yang dihasilkan itu telah banyak memberi senyuman dan kegembiraan kepada ramai penerima yang berasa teruja dengan hasilnya.
Menurut Mohd. Amri, dia mula menghasilkan kotak kejutan itu sekitar tahun 2013 secara suka-suka sahaja. Katanya, dia telah menghasilkan kotak kejutan itu secara ringkas untuk suka-suka sebelum salah seorang rakannya berminat untuk membeli kotak tersebut.
Jualan pertamanya itu telah membuka ruang kepada Mohd. Amri untuk cuba menghasilkan kotak kejutan lain dan memuat naik gambar hasil kraf tersebut melalui laman Instagram.
Ternyata percubaan yang dilakukan oleh pemuda berasal dari Kangar, Perlis itu tidak sia-sia apabila kerja tangan yang dihasilkan itu mendapat perhatian pengguna di laman sosial.
Mengakui sangat meminati bidang seni kraf, Mohd. Amri tidak kekok untuk mempelajarinya walaupun hanya berpandukan laman YouTube sahaja.
“Saya melihat kotak kejutan ini mempunyai seninya yang tersendiri dan memiliki reka bentuk yang unik serta menarik,” tutur pemuda yang masih berstatus bujang itu.
The Explosion Box merupakan seni lipatan kertas yang digubah menjadi kotak, namun ia mempunyai beberapa kejutan menarik apabila dibuka.
Persepsi
Menurut Mohd. Amri dia tidak mengambil masa lama untuk menyiapkan satu-satu tempahan bergantung pada saiz dan reka bentuk kejutan yang diinginkan oleh pelanggannya.
Bagi kotak kejutan paling kecil, iaitu bersaiz 10 sentimeter, Mohd. Amri hanya mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk menyiapkannya berserta dengan empat helah menarik.
“Helah yang disertakan itu terdiri daripada ucapan, gambar dan kata-kata yang diinginkan oleh pelanggan.
“Menariknya, pelanggan juga boleh memilih reka bentuk yang diinginkan atau boleh kekal dengan bentuk asas sedia ada,” ujar Mohd. Amri.
Sewaktu ditanya mengenai pandangan masyarakat sekeliling dan ahli keluarga tentang aktiviti yang dilakukan, lebih-lebih lagi seni kraf seperti itu lebih dikaitkan dengan kemahiran kaum wanita, Mohd. Amri ada jawapannya tersendiri.
Menurutnya, dia tidak ambil kisah tentang persepsi masyarakat yang memandang kerja seni itu hanya dikaitkan dengan kerja seni orang wanita, sebaliknya bersyukur mampu meraih rezeki halal dengan menghasilkan kraf secara kecil-kecilan.
“Memang saya ada segulung ijazah, namun saya tidak menyesal memilih kerjaya membuat kraf ini secara bebas kerana ia juga mendatangkan pendapatan kepada saya,” ujar Mohd. Amri yang turut menjadi guru tuisyen dari rumah ke rumah.
Menyimpan impian untuk membuka sebuah kedai kecil menjual kraf tangan, Mohd. Amri bercita-cita untuk mengembangkan kerja tangannya agar lebih dikenali.
Hadiah kotak kejutan hasil seni tangan Mohd. Amri pasti memberi senyuman tidak lekang pada bibir penerima dengan hasil kreatif dan cantik.










