Sembilan ADUN BN Perlis tetap tolak Azlan Man - Utusan Malaysia

Sembilan ADUN BN Perlis tetap tolak Azlan Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis tetap dengan keputusan untuk menolak Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan, penolakan mereka terhadap Azlan Man sebagai Menteri Besar adalah kerana beberapa faktor yang tidak sesuai dimaklumkan kepada media.

“Kami akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk memohon sembah ampun selain menerangkan salah faham yang berlaku sebelum ini.

“Selain itu, kami akan memaklumkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin mengapa kami menolak Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

“Kami juga akan menjunjung titah setiap keputusan Tuanku berhubung isu ini,” kata Zahidi kepada pemberita di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau merupakan wakil kepada sembilan ADUN BN yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Perlis di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau pada 24 Mei lalu.

Tujuh ADUN BN yang hadir pada sidang media berkenaan iaitu Teh Chai Aan (Titi Tinggi), Ruzaini Rais (Beseri), Asmaiza Ahmad (Chuping), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Azizan Sulaiman (Santan), Rozieana Ahmad (Pauh) dan Nurulhisham Yaakob yang menang di Simpang Empat.

Dua lagi ADUN BN iaitu Hamizan Hassan (Kayang) dan Datuk Ismail Kassim (Tambun Tulang) tidak hadir pada sidang media itu namun tetap dengan keputusan akan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin untuk sembah ampun selain menolak Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN