Samurai Biru lunas dendam benam Colombia - Utusan Malaysia

Samurai Biru lunas dendam benam Colombia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MORDOVIA – Pasukan gergasi Asia, Jepun memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan kemenangan apabila menewaskan Colombia 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2018 di Arena Mordovia malam tadi.

Lebih manis, kemenangan itu juga menyaksikan Jepun berjaya membalas dendam terhadap kekalahan 1-4 yang dialami skuad Samurai Biru pada edisi empat tahun lalu sehingga menyebabkan mereka gagal mele­pasi peringkat kumpulan.

Layangan kad merah terhadap pemain tengah Colombia, Carlos Sanchez seawal minit ketiga turut membantu kemenangan skuad ken­dalian Akira Nishino, meskipun pa­sukan Amerika Selatan itu dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun dibarisi pemain-pemain berkelas dunia seperti Radamel Falcao, James Rodriguez dan Juan Cuadrado, namun pasukan bimbi­ngan Jose Pekerman itu dilihat buntu untuk menembusi benteng pertahanan Jepun yang diketuai Maya Yoshida.

Pada perlawanan tersebut, dua gol Jepun dijaringkan oleh bintang Borussia Dortmund, Shinji Kagawa dan penyerang Yuya Osako, mana­kala Colombia memperoleh gol tunggal menerusi sepakan percuma menarik pemain tengah, Juan Quintero.

Sebagai rekod, keputusan itu me­rupakan kemenangan sulung Jepun pada saingan Piala Dunia yang berlangsung di bumi Eropah serta kemenangan pertama ke atas pasukan dari Amerika Selatan dalam sejarah bola sepak negara tersebut.

Berbekalkan tiga mata, ‘Negara Matahari Terbit’ itu kini memburu tempat ke pusingan kalah mati menjelang aksi kedua peringkat kumpulan menentang wakil Afrika, Senegal pada 24 Jun ini.

Sementara itu, Colombia menggalas misi wajib menang pada dua perlawanan terakhir menentang Poland dan Senegal sekiranya mereka mahu menempah slot ke pusingan kedua seterusnya mengulangi pencapaian 2014 mara ke suku akhir. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini