SAINT PETERSBURG 19 Jun – Tumpuan kini kepada bintang Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah sama ada dapat diturunkan atau pun tidak apabila berdepan tuan rumah, Rusia dalam aksi penting Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2018 awal pagi esok.
Tepat jam 2 pagi itu nanti, peminat pemain berusia 26 tahun itu sudah boleh mengetahui status terkininya yang mengalami kecederaan bahu serius ketika beraksi di final Liga Juara Juara Eropah lebih dua minggu yang lalu.
Kelibat Salah dan kemenangan amat penting buat Mesir untuk menghidupkan kembali peluang ke pusingan kedua selepas kalah 0-1 kepada Uruguay pada aksi pertama peringkat kumpulan pada 15 Jun lalu ketika Rusia juga mencari kemenangan untuk mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik lebih awal.
Salah sebelum ini dilihat terpaksa menggunakan tiga rakan sepasukan untuk membantunya memakai jersi semasa turun berlatih namun semakin terdesak untuk diturunkan demi negaranya yang beraksi buat kali pertama di Piala Dunia sejak 1990.
Bagaimanapun jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov pantas memberi amaran bahawa pemainnya tahu cara untuk mengajar dan mengawal kelibat Salah yang digeruni itu di sini.
“Kami tahu macam mana untuk mengawalnya. Kami sudah bersedia untuk menyekat Salah dan akan melakukannya,” tegas Cherchesov yang menyaksikan anak buahnya bermula baik dengan membelsah Arab Saudi 5-0 pada aksi pertama kumpulan, 14 Jun lalu.
Bagi penyerang Rusia, Alexei Miranchuk, pasukannya masih perlu berhati-hati menentang Mesir jika Salah yang menjaringkan 44 gol bersama Liverpool musim ini diturunkan pada perlawanan kedua kumpulan itu.
“Mesir jika ada Salah adalah sebuah pasukan yang berbeza berbanding ketika tanpanya di atas padang,” ujar Miranchuk mengenai Salah yang sudah pun disahkan cergas sepenuhnya oleh doktor pasukan Mesir. – AFP









